Assalamualaikum,
Buat pertama kali saya menulis sesuatu artikel di dalam sebuah blog.Diharapkan artikel-artikel ini akan dapat menjadi domain untuk membuka minda,menyedarkan serta menginsafkan kita sesama makhluk Allah di bumi ini.
Anak...insan yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin.
Anak...insan yang mampu memberi warna-warni keceriaan dalam sebuah rumahtangga.
Namun tidak semua pasangan mampu untuk terus mendapatkan zuriat dalam tempoh yang amat singkat selepas perkahwinan.Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan seorang zuriat sulung yang dinanti-nantikan.Ada juga yang tidak mempunyai rezeki langsung untuk menimang cahayamata sehinggalah ke usia tua mereka.Usaha untuk mendapatkan zuriat membuatkan setiap pasangan sanggup untuk menjalani perubatan rawatan kesuburan baik di klinik-klinik swasta ataupun kerajaan.Namun semua itu adalah takdir yang Maha Kuasa.Setiap makhluk Allah diuji dengan bermacam-macam cabaran dan salah satu daripadanya ialah ujian kesukaran mendapatkan zuriat.
Ujian dan cabaran ini telah di tempuhi sendiri oleh diri ku.Setelah berkahwin selama enam tahun barulah aku ditakdirkan mengandung anak pertama.Sepanjang tempoh itu berbagai usaha telah kami lakukan termasuk mengunjungi klinik-klinik pakar swasta.Bukan hanya satu klinik pakar tetapi tiga klinik pakar.Jika tidak berhasil kami akan mencuba rawatan di klinik pakar yang lain.Nyata semua keputusan yang dijalani ke atas kami tidak menunjukkan kami mempunyai masalah dalam kesuburan.Sesi rawatan yang dijalankan memakan kos yang amat tinggi tetapi demi zuriat yang kami idam-idamkan semua itu diredahi saja.Akhirnya setelah mencuba tujuh kali sesi permanian beradas(IUI) tetapi tidak berhasil,kami pun membuat keputusan untuk menghentikan sesi rawatan.Jika dikatakan semua kaedah tradisional dan moden telah pun dicuba.
Berbekal dengan semua rezeki datangnya dari Allah,akhirnya aku telah pun disahkan mengandung pada bulan Jun 2006.Khabar itu amat menggembirakan kami dan bersyukur kerana doa dan permintaan kami akhirnya dimakbulkan jua oleh Allah.Ketika mengandung berbagai alahan yang amat teruk terpaksa dihadapi.Namun pada awal februari 2007,selamatlah lahir puteri ku yang sulung.Alhamdulillah akhirnya tiba juga rezeki ku untuk menjadi seorang ibu.Pada tahun 2008,Allah telah mengurniakan rezekiNya kepada kami dengan lahirnya anak ku yang kedua iaitu seorang putera.Syukur Alhamdulillah kini kami telah mempunyai sepasang anak.Pada tahun 2009 ,aku telah disahkan mengandung sekali lagi.Tetapi bayi yang ku kandung itu telah tidak sempat untuk ku curahkan belaian kasih sayang kerana telah pergi selama-lamanya meninggalkan ku ketika masih dalam usia tujuh bulan di dalam kandungan.Bayi lelaki ku telah disahkan mengidap hydrop fetalis dan penyakit ini tidak memungkinkan untuk dia bertahan lama.Hati ibu mana yang tidak runtuh dan semangat ku pun pada ketika itu ibarat melayang pergi bersama bayi ku tadi.Selama beberapa bulan aku sering menangis bila terkenangkannya.Walaupun aku tidak sempat mencurahkan kasih sayang kepadanya namun kasih itu telah pun bertunas sejak dia berada di dalam kandungan ku lagi.
Namun fenomena kini mewartakan bahawa bayi bukan lagi dibelai tetapi dibuang sesuka hati.Setiap hari kita diuar-uarkan dengan berita pembuangan bayi di sana sini.Bayi yang tidak berdosa hasil daripada perlakuan zina yang dilakukan oleh ibu bapanya ini menanggung akibat yang sangat buruk.Ingin saja aku bertanyakan soalan kepada si ibu tadi.Di manakah naluri keibuannya?Di manakah tanggungjawabnya ke atas perilakunya itu?Tidak adakah rasa sayang ataupun kasihan terhadap bayi yang dikandung dan diusung ke sana-sini selama hampir 38-40 minggu itu?Tidak terdetikkah rasa bersalah di hati mereka menyiksa dan membuang bayi dengan begitu kejam sekali...berita terbaru yang ku dengar di Malaysia hari ini 21 April 2011 ialah bayi yang baru lahir ditemui dibuang di dalam botol nescafe saiz besar...begitu tergamak mereka melakukan perbuatan itu terhadap bayi tersebut.
Wahai pelaku-pelaku di luar sana...tahukah kamu bahawa berjuta-juta pasangan yang berkahwin amat mengimpikan anak..kalian pula dengan begitu mudah membunuh dan membuangnya...Kenapa anda sanggup membuat seperti itu?Adakah kerana takut ataupun malu terhadap pandangan masyarakat?Kenapa ketika melakukan perbuatan terkutuk,anda tidak takut ataupun malu dengan Allah..terang-terang perbuatan anda dilarang oleh agama.Setelah mengandung dan melahirkan bayi itu anda telah mengambil jalan mudah untuk melenyapkannya dari hidup anda berdua.Sedarkah kalian bayi itu ada hak untuk mengecapi hidup di dunia ini.Begitu mudah anda membuat keputusan sehingga mengenepikan hukum-hukum agama...Sedarlah dan bertaubatlah selagi pintu taubat masih terbuka luas.Janganlah kes ini mencapai ranking yang tinggi tahun demi tahun.Kasihani dan sayangi mereka.Mereka adalah aset yang berguna kepada negara apabila di didik dan di bimbing di jalan yang benar.
Anak-anak ku..umie bersyukur kerana memiliki kamu berdua.Semoga kamu berdua menjadi anak yang soleh dan solehah.Anak ku Allahyarham Muhammad Shahid Firdaus..semoga umie berpeluang bertemu denganmu di alam sana.Wassalamualaikum Wbt.
No comments:
Post a Comment